Hari ini keputusan SPM keluar. Ibu-bapa dan pelajar akan ada yang sedih dan akan ada yang gembira. Setelah aku habis belajar dan mula bekerja barulah aku sedar bahawa keputusan peperiksaan bukanlah segalanya.
Untuk meneruskan kehidupan, kita perlu memenuhi keperluan seperti tempat tinggal, pakaian dan makanan. Kita juga mungkin memenuhi kehendak sampingan seperti memiliki kereta, telefon mudah alih dan sebagainya. Namun kecemerlangan keputusan peperiksaan bukanlah satu-satunya tiket untuk kita memiliki semuanya itu.
Satu masa nanti kita mungkin menjadi seorang doktor atau seorang jurutera atau seorang arkitek dan pendapatan kita amat lumayan lalu kita mampu untuk menikmati kehidupan yang selesa. Tetapi di sekeliling setiap kita ada pula insan-insan yang tidak cemerlang di dalam peperiksaan tetapi masih berjaya. Malah mereka lebih berjaya dari pelajar lulusan kedoktoran. Jadi untuk berjaya dalam hidup ianya tidak bergantung kepada pelajaran yang tinggi. Belajarlah dengan rajin namun janganlah kecewa dengan keputusan yang diterima. Berusahalah untuk maju dengan pelbagai jalan. Asalkan jalan yang dipilih halal dan tidak melanggar undang-undang.
Lihatlah sekiling kita, pasti ada di antara mereka walaupun mempunyai tahap pelajaran yang tidak setinggi mana namun memiliki kemewahan hidup yang membanggakan dan luar biasa. Malah ada diantara mereka mampu mengajikan pekerja yang mempunyai kelulusan pelajaran yang tinggi. Pun begitu adakah dengan memiliki kemewahan hidup yang selesa kita dikira berjaya ? Takrifan kejayaan pula amatlah subjektif dan ini adalah isu lain yang mungkin dinukilkan nanti.
Akhir kata apapun keputusan SPM yang anda dapat, terimalah dengan rasa redha dan rendah hati. Janganlah terlalu bersedih jika anda tidak mendapat apa yang dihajati andai anda telahpun berusaha. Selagi ada nyawa, masih ada jalan untuk dilalui. Dan pasti setiap jalan itu adalah pengalaman. Pengalaman pula adalah sebaik-baik guru.