Thursday, March 3, 2016

MUNGKINKAH KAYA !


sudah ada ini inginkan itu
sudah di sini ingin ke sana

kaya hanyalah rasa
rasa selalu berdusta
miskin terlalu nyata

mata dan akal selalu berseteru
nafsu kurang bersetuju
hati bercelaru

jadi orang
puas amatlah jarang
redha terlalu kurang

kaya bila sudah cukup
kaya bila nafsu tertutup
mungkinkah !




KEPUTUSAN SPM

Hari ini keputusan SPM keluar. Ibu-bapa dan pelajar akan ada yang sedih dan akan ada yang gembira. Setelah aku habis belajar dan mula bekerja barulah aku sedar bahawa keputusan peperiksaan bukanlah segalanya.

Untuk meneruskan kehidupan, kita perlu memenuhi keperluan seperti tempat tinggal, pakaian dan makanan. Kita juga mungkin memenuhi kehendak sampingan seperti memiliki kereta, telefon mudah alih dan sebagainya. Namun kecemerlangan keputusan peperiksaan bukanlah satu-satunya tiket untuk kita memiliki semuanya itu.

Satu masa nanti kita mungkin menjadi seorang doktor atau seorang jurutera atau seorang arkitek dan pendapatan kita amat lumayan lalu kita mampu untuk menikmati kehidupan yang selesa. Tetapi di sekeliling setiap kita ada pula insan-insan yang tidak cemerlang di dalam peperiksaan tetapi masih berjaya. Malah mereka lebih berjaya dari pelajar lulusan kedoktoran. Jadi untuk berjaya dalam hidup ianya tidak bergantung kepada pelajaran yang tinggi. Belajarlah dengan rajin namun janganlah kecewa dengan keputusan yang diterima. Berusahalah untuk maju dengan pelbagai jalan. Asalkan jalan yang dipilih halal dan tidak melanggar undang-undang.

Lihatlah sekiling kita, pasti ada di antara mereka walaupun mempunyai tahap pelajaran yang tidak setinggi mana namun memiliki kemewahan hidup yang membanggakan dan luar biasa. Malah ada diantara mereka mampu mengajikan pekerja yang mempunyai kelulusan pelajaran yang tinggi. Pun begitu adakah dengan memiliki kemewahan hidup yang selesa kita dikira berjaya ? Takrifan kejayaan pula amatlah subjektif dan ini adalah isu lain yang mungkin dinukilkan nanti.

Akhir kata apapun keputusan SPM yang anda dapat, terimalah dengan rasa redha dan rendah hati. Janganlah terlalu bersedih jika anda tidak mendapat apa yang dihajati andai anda telahpun berusaha. Selagi ada nyawa, masih ada jalan untuk dilalui. Dan pasti setiap jalan itu adalah pengalaman. Pengalaman pula adalah sebaik-baik guru.


TANPA APA APA

Telah aku padam semua
Gambar aku
Di alam maya
Di dalam album atau cakera
Atau di manapun bayang aku ada
Kerana aku hanya ingin ada
Di mana aku sekarang

Kenangan itu walau manis
Kenangan itu walau pahit
Hanyalah pelajaran
Untuk aku  melukis
Lalu terwarnalah aku
Seperti sekarang

Dan bila aku mati
Biarlah nisan itu tidak bertanda
Kerana semua kisah aku
Telahpun tertulis
Dari dulu hingga sekarang

Aku tiadalah siapa
Dari mula tanpa apa apa
Akhirpun tiada apa 
Yang ada hanya sekarang 
Ohhh sekarang pasti hilang ....

KERABU PERUT LEMBU

Seperti biasa tugasan tidak formal aku setelah balik kerja adalah menjadi cef. Jadi menu yang ada di dalam kepala adalah ikan masak kicap dan sayur kailan ikan masin seperti yang dicadangkan oleh anak aku.Pun begitu aku nak tambah satu lagi menu iaitu kerabu perut yang selalu anak aku order bila kita orang pergi makan di restoran yang berhampiran dengan rumah.

Biasalah daripada tempat kerja aku akan bergegas balik untuk ke Pasar Puteri Mart untuk membelek, memilih dan membeli bahan-bahan mentah yang perlu. Untuk masakan harian biasanya aku tidak ambil bahan-bahan mentah dari dalam peti ais yang memang ada tersimpan sebab tidak mahu menunggu proses pencairan yang lambat. Biasanya aku akan sampai ke rumah pada jam 5:30pm dan aku tugas memasak aku akan siap lebih kurang pukul jam 6:30pm. Di antara waktu tersebut atau selepasnya aku akan solat asar bergantung kepada waktu. Di sini aku tidak mahu bercerita tentang menu ikan kicap dan kailan tetapi aku akan bercerita tentang kerabu perut lembu yang memang tidak pernah aku buat.

KERABU PERUT LEMBU

Bahan-bahan:
1. Perut lembu 1/2 kilo
(Di potong kecil-kecil dan direndam di dalam air bercampur kapur  sirih. Ataupun  dilumurkan dengan tepung untuk beberapa ketika untuk  menghilangkan bau hamis dan dibasuh bersih. Setelah itu perut tersebut di rebus sehingga masak atau lembut).
2. Batang serai - 1 batang 
(Di potong nipis-nipis).
3. Tomato        - 2 biji 
(Di potong dua dan dibuang bijinya. Setelah itu dipotong kecil-kecil.
4. Kacang panjang - 2 helai/batang
 ( Di potong kecil-kecil)
5. Cili Merah & Cili Padi -Nak pedas taruk lebih
 ( Di potong kecil-kecil)
6. Bawang besar - 1 biji 
(Di potong kecil-kecil)
7. Daun Ketumbar atau daun kesum - Agak-agaklah banyak mana
 ( Di potong halus)

Caranya:
Bahan-bahan di atas dicampurkan dan digaul rata. Setelah itu masukkan perasa seperti garam, gula dan perahan air limau nipis. Kuantiti perasa pandai-pandai koranglah sehingga rasa kerabu menepati cita rasa tekak korang. Kalau ada stok, korang masukkan juga sos ikan 1 sudu kecil. Dah siap ....

Yang sebenarnya ketika aku memotong kacang panjang, pisau yang aku pegang terjatuh dan tindakan pantulan aku untuk menyambut pisau tersebut telah melukakan jari manis aku sehingga keluar darah yang banyak. Untuk pertama kalinya dalam seumur hidup aku telah pitam ... kah kah kah. Tetapi tolonglah jangan masukkan darah pulak kat dalam kerabu tu sebab darah aku tak kenapun pada bahan-bahan yang terlibat. Kerja-kerja untuk menyiapkan kerabu disiapkan oleh anak aku bila dia balik dari kerja dan rasanya hmmmm macam yang beli kat restoran.

Oleh sebab itu aku tokleh nak letak gambar kerabu kat sini ... Next is 'KERABU SOTONG'.

Tuesday, March 1, 2016

POKOK KUNYIT HITAM


Betul ke pokok kunyit hitam ? Aku pun tak pasti. Benihnya aku ambik dari pasir mas kelantan di depan rumah mak mertua aku. Yang pasti bau daunnya macam bau daun kunyit yg kita selalu buat masak masak tu. Tapi kunyitnya tak hitampun. Mak mertua aku cakap boleh buat ubat. Ubat apa ek ? Terlupa pulak nak tanya masa ambik pokok ni dulu sebab saje nak tanam. Bukan nak buat ubat pun !