Friday, December 2, 2011

Perancangan & Harapan

Pastinya tidak semua yang kita rancangkan akan terjadi. Bercintalah bagai nak rak, kalau tiada jodoh, takkan berlaku pernikahan. Pandulah dengan laju atau bergeraklah dengan lebih awal. Apakan kita akan sampai ke destinasi dalam waktu yang kita kehendaki ? Belum tentu. Kita cuma merancang. Apa yang akan terjadi mungkin seperti yang dikehendaki atau mungkin tidak.

Jadi apa perlu kita berusaha dengan merancang sesuatu jika apa yang akan terjadi adalah diluar kuasa kita. DI sinilah indahnya kehidupan. Indahnya adalah pada usaha dan perancangan. Masam, masin dan manis kehidupan adalah pada perancangan. Apa yang terjadi adalah pengalaman dan pelajaran. Sebagai hamba, kita diberi kemampuan untuk berusaha dan pastinya sebagai hamba juga kita mesti menerima apa saja hasil yang kita perolehi daripada usaha kita yang seadanya. Kita cuma menyemai benih, hidup mati pohon yang disemai bukan hak kita.

Kita selitkan doa dan harapan pada setiap usaha. Suka atau tidak suka tentunya kita menerima sesuatu daripada apa yang diusahakan. Ia mungkin jadi satu hadiah atau ia mungkin jadi satu cabaran. Jangan sesekali kita lupa bahawa Allah itu Maha Pengasih, Maha Pemurah dan Maha Penyayang